BIar seNyUman TErukir DiBibIrmu YAng MenaWan

Gempar!!! Pohon Pisang Mengeluarkan Buah Nenas


KEMAMANGS – Suatu berita yang amat mengejutkan telah tersebar dengan cepat sekali di kawasan sekitar Kemamangs dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya. Berita itu tidak asing lagi dijaja dari mulut kemulut penduduk Kemamangs. Kejadian ini amat asing sekali bagi kita sebagai Rakyat Malaysia kerana kejadian ini boleh dikatakan belum lagi pernah terjadi di dalam Negara Malaysia yang dicintai ini. Apakah kejadian tersebut? Ia adalah….

POKOK PISANG MENGELUARKAN BUAH NENAS


Sangat pelik dan sangat menghairankan bagi sesiapa yang mendengarnya apatah lagi melihat dengan mata kepala mereka sendiri. Pasti mulut akan terlopong dan terpaku apabila melihat pokok pisang yang aneh tersebut. Selalu kita perhatikan buah pisang yang kekuningan dan bersikat-sikat dalam satu tandan, tapi di Kemamangs ini anda akan melihat buah nenas terpaku di batang pisang. Mata bagai tidak mahu menerima tetapi itulah kebenaran yang memang betul-betul berlaku di daerah yang terkenal dengan pengeluaran siput sedut itu.


Kami dari majalah Bohong Membohong tidak melepaskan peluang ini untuk merakamkan kejadian aneh ini. Kami telah menghantar seorang pemberita kami yang tidak asing lagi dari dunia hiburan iaitu Mat Kempis. Beliau adalah seorang pemberita kami yang baru sahaja menamatkan latihan beliau dari kem bunga matahari iaitu sebuah kem yang melatih pelatih-pelatih mereka cara untuk berkomunikasi dengan anai-anai. Nampak seperti gila tapi itulah kebenarannya.

Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang satu purnama telah ditempuhi oleh Mat Kempis denganpenuh kesabaran. Dengan berbekalkan sebungkus pisang goreng yang digoreng oleh beliau sendiri Mat Kempis telah memulakan perjalanan beliau dari Batu Pahat menggunakan Vespa 1000 yang dipinjam daripada atuknya menyebabkan atuknya terpaksa pergi menorah sambil berjoging dengan diiringi dengan makian terhadap cucunya yang sengal-sengal kentang kerana merembat vespanya itu. Hampir sepurnama merempuhi onak dan duri akhirnya tibalah Mat Kempis di Kemamangs. Dengan perasaan yang gembira bak ibu mengandung, beliau memulakan tugas beliau dengan menemuramah penduduk Kemamang untuk merungkai misteri Pohon pisang yang berbuah nenas itu.


Untuk sampai ke Pokok pisang pelik tersebut, pemberita kami perlu mendaki sebuat bukit yang suam-suam kuku tingginya. Dengan dibantu oleh Hassan Senget yang lebih manja jika dipanggil Comel, pemberita kami memulakan pendakian tersebut. Comel merupakan seorang manusia biasa yang diberi tugasan untuk menjaga kawasan bukit tersebut iaitu bukit Cempaka. Pokok pisang aneh tersebut juga pertama kali ditemui oleh Comel. Comel secara tidak sengaja menjumpai Pokok tersebut ketika beliau sedang bermain kejar-kejar dengan kura-kura. Tetapi yang menghairankan pemberita kami, Comel sering kalah dalam permainan tersebut.

Setelah hamper sejam mendaki Bukit Cempaka akhirnya tibalah Mat Kempis di kawasan dimana pohon aneh tersebut tumbuh dengan segarnya. Setelah hampir 59 minit mengelilingi pohon tersebut pemberita kami masih belum menjumpai buah nenas yang seperti digambarkan tersebut. Lalu pemberita kami terus mengajukan pertanyaan kepada Comel. “la, awat (mengapa) abang ni tak bagitau comel awal-awal yang abang nak tengok buah nenas tu, sebab tadi Comel dah ambik dah buah nenas tu sebab mak Comel nak masak. Kejap ye abang” kata Comel kepada pemberita kami. Sambil itu comel mengeluarkan penukul bersama-sama sebijik nenas. Lalu comel memaku nenas tersenbut di batang pisang yang menjadi harapan Mat Kempis agar namanya menjadi sepopular Obama.

“Abang, ni la pokok tu, pelik kan” kata Comel tanpa rasa segan dan silu. Dan pada saat dan ketika itu barulah pemberita kami sedar mengapa penduduk daerah Kempas tadi memandang serong dan senyum-senyum sinis terhadapnya. Rupanya dia telah terjebak dengan Comel yang sudah hampir 37 tahun menginap di hospital gila. Sejam kemudian pemberita kami pulang bersama-sama Comel. Tetapi kini buah nenas itu tidak lagi berada di pohon pisang, tetapi ia kini berada di dahi Comel. Comel menangis teresak-esak sambil berlari-lari anak pulang ke rumahnya.

Akhirnya pulanglah pemberita kami dengan perasan yang bercampur baur, kerana impiannya untuk menjadi sehebat Obama telah gagal. Pulangnya juga turut diiringi oleh makian dari datuknya yang masih belum berpuas hati dengan Mat Kempis. Misteri tersebut kekal menjadi misteri. Sekian terima kasih.





AKu HaNya MAnusIA BiaSA YAnG teRCAri-Cari keHiduPAn Yang DAmaI Di MUkA BUmI ciPTaan ALLAH yanG mAHa BEsaR
hoKIaiS

0 comments:

Post a Comment